Sekarang mimpi ngeri itu bermula lagi. Pada 16 Julai 2008, Anwar ditangkap atas tuduhan kes liwat yang baru, selepas suatu laporan polis dibuat oleh Saiful Bukhari, pembantu berpangkat rendah dalam pejabatnya pada 28 Jun 2008. Anwar berkata tuduhan ini, sekali lagi bermotifkan politik, sebagai cubaan terbaru untuk menghalang kerjaya politiknya yang kembali bangkit mendadak kegemilangannya. Ramai orang di dalam dan di luar negara bersetuju dengan penilaian ini.

Kes terbaru ini hanyalah ulang tayang skrip lama dengan para pelakon yang baru – skrip sekarang ini juga menampilkan episod-episod campurtangan politik, kecurangan dan penyelewengan para pegawai di pejabat Peguam Negara dan pihak polis, penipuan bukti-bukti yang muncul daripada suatu konspirasi politik untuk menghentikan kerjaya cemerlang politik Anwar.

Kes hairan yang benar-benar pelik

Terdapat banyak fakta terhadap dakwaan yang dibuat Saiful dan tindak tanduknya yang sudahpun berada dalam pengetahuan orang ramai. Fakta-fakta ini bercakap dengan sendirinya. Secepatnya ia menunjukkan betapa tidak kukuhnya kes yang direka-reka ini, selain bertujuan menjatuhkan Anwar.

Saiful mendakwa dalam laporan polisnya bertarikh 28 June 2008 di Hospital Kuala Lumpur (“HKL”) yang dia diliwat Anwar pada tengahari Khamis 26 Jun 2008 di sebuah kondominium di Bukit Damansara. Saiful bercerita kepada pihak polis dalam kenyataannya yang mendakwa dia telah diserang paksa sebanyak 8 ke 9 kali tanpa kerelaan hatinya oleh Anwar sepanjang dua bulan yang berlalu itu. Dalam laporan polisnya dua hari kemudian pada 28 Jun 2008, dia mendakwa kejadian liwat ini memang berlaku tanpa kerelaan hatinya.Cerita Saiful ini menimbulkan kecurigaan kenapa dia sebagai kononnya “si mangsa”yang dipaksa liwat 8 ke 9 kali tanpa kerelaan hatinya, selama dua bulan tetapi tidak membuat sebarang aduan kepada pihak berkuasa. Sepanjang waktu itu dia berhubungan secara biasa dengan Anwar dan kesemua kakitangan di pejabat Anwar Ibrahim.

Turut didedahkan pada Rabu 25hb Jun 2008, sehari sebelum serangan seksual terakhir pada hari Khamis keesokan harinya, Saiful telah bertemu dengan pegawai polis berpangkat tinggi Penolong Kanan Komisioner SAC Rodwan Mohd Yusof (waktu iti Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Pasukan Polis DiRaja Malaysia, sekarang Ketua Polis Melaka) di Hotel COncorde, Kuala Lumpur di bilik bernombor 619. Apabila ditanya wartawan tentang pertemuan ini, Rodwan tidak memberikan sebarang komen. Rodwan telah memainkan peranan penting bersama pasukan polis dalam kes Anwar tahun 1998/99 dahulu. Rodwan terkenal dengan peranannya mengambil sampel darah Anwar untuk ujian DNA tanpa mengikut lunas undang-undang. Dia juga terkenal dengan tuduhan meletakkan kesan DNA yang direka-reka pada tilam yang diusung ke mahkamah. Sewaktu perbicaraan pertamanya pada tahun 1998, bukti DNA tidak dapat dipakai hinggakan hakim Augustine Paul yang jelas berat sebelah terpaksa membuang bukti tersebut daripada membantu kes pendakwaan.

Umum juga telah didedahkan “si mangsa” ini telah juga bertemu dengan Perdana Menteri sekarang (waktu itu masih Timbalan Perdana Menteri) beberapa hari sebelum kejadian yang didakwa itu berlaku. Apa yang lebih menarik lagi tentang pendedahan ini Najib pada awalnya menafikan pertemuan dengan Saiful kepada pihak media, tetapi kemudiannya mengakui, menjelaskan pertemuan itu berlangsung kerana Saiful (gagal dari universiti, tidak habis belajar) meminta bantuan Najib untuk mendapatkan biasiswa. Selepas itu barulah Najib memberi tahu pihak media bahawa Saiful diliwat Anwar dan dalam pertemuan tersebut Saiful kelihatan cukup traumatik.

Tindak tanduk Saiful selepas kononnya dipaksa liwat pada hari Khamis turut menimbulkan tanda tanya. Pagi besoknya, Saiful ke pejabat Anwar seperti biasa. Dia tidak mengadu kepada sesiapapun dan muncul dalam keadaan yang normal.Pada sebelah petangnya dia menghadiri acara anjuran Anwar Ibrahim Club di rumah Anwar, yang mana Anwar sendiri turut hadir. Di sana dia membantu menghidangkan kopi kepada sedozen orang yang hadir, tanpa memperlihatkan tanda-tanda takut atau cemas, dia mampu berdiri dan duduk tanpa menunjukkan tanda-tanda ketidak selesaan.

Pada hari Sabtu berikutnya, pada sebelah tengahari, kira-kira jam 2 petang, Saiful memutuskan untuk pergi ke hospital swasta Pusat Rawatan Islam (PUSRAWI) di Jalan Tun Razak. Di situ, dia mengadu kepada Dr. Osman yang dia merasa sakit di dalam lubang duburnya selama beberapa hari dan kelihatannya dia merasa seperti ada bahan “plastik” yang dimasukkan. Pemeriksaan protoskopi (menggunakan alat protoskop yang bertujuan memeriksa hujung lubang dubur) oleh Dr. Osman menunjukkan tidak ada tanda-tanda penembusan atau kemasukan dan keadaan normal dubur dan rektum hujung usus.

Selesai pemeriksaan, dia memberitahu Dr. Osman yang dia diliwat oleh VIP (orang kenamaan) dan Saiful telah dinasihatkan untuk mendapatkan pemeriksaan di hospital kerajaan. Meskipun HKL hanyalah terletak di seberang jalan, Saiful mengambil masa selama dua setangah jam untuk sampai ke sana. Di HKL, dia melaporkan yang dia diliwat, dia kemudiannya diperiksa oleh oleh tiga orang doktor pakar, yang mana bukanlah suatu prosedur yang biasa. Ketiga-tiga doktor tersebut dalam laporan rasmi mereka menyebut, “tidak ada rumusan hasil pemeriksaan klinikal yang dengan pasti dapat mencadangkan penembusan ke dalam lubang dubur …” sekali lagi ia menguatkan kesimpulan yang dibuat Dr. Osman.

Sesiapapun yang menjadi penyiasat dengan sifat waras akan memahami bahawa pertuduhan liwat tidak akan ke mana-mana dalam keadaan bukti perubatan sejelas itu. Tiada seorangpun penyiasat yang waras akan meneruskan kes pendakwaan. Di sini kita melihat perkara yang sebaliknya berlaku. Pasukan penyiasat bersungguh-sungguh, biarpun bukti perubatan menunjukkan tidak ada penembusan terhadap lubang dubur. Sifat hasad berniat jahat dalam penyiasatan mengukuhkan lagi kewujudan motif politik disebalik tindakan mereka.

Penyiasatan kes ini diteruskan biarpun hasil laporan pemeriksaan perubatan telah diserahkan dengan serta-merta kepada para penyiasat polis. Spesimen yang diambil dengan pengelap daripada Saiful menimbulkan syak wasangka kerana ia mengambil masa dua hari untuk sampai ke makmal untuk dianalisa. Sekarang kita tahu bahawa pihak pendakwaan akan bergantung kepada bukti DNA dalam cubaan untuk membuktikan Anwar terlibat dalam tindakan meliwat Saiful tanpa kerelaannya.

Bagaimana seorang tua dengan sakit belakang dapat memaksa seorang jejaka yang tinggi dan tegap berusia 24 tahun, boleh menjadi soalan yang menarik untuk dijawab para pemerhati politik sepanjang perbicaraan ini.

Soalan lain yang menarik ialah dalam keadaan bukti kukuh perubatan yang menyatakan pemeriksaan klinikal tidak menemui malah untuk mencadangkan penembusan, kurangnya wibawa laporan DNA yang cuba menunjukkan DNA Anwar ditemui didalam lubang dubur Saiful. Perlu diingatkan bahwa bukti DNA sangat mudah untuk direka atau ditambah-tambah, khususnya jika kerja-kerja mereka-reka tambah bukti ini dilakukan oleh para penyiasat yang sama dalam perbicaraan 1998 dahulu.

Contoh-contoh bukti yang direka-reka bagi mengenakan Anwar

Ini bukan kali pertama, kes yang melibatkan Anwar untuk fenomena bukti yang direka-reka muncul. Kes 1998 dan 1999 penuh dengan kejadian pengakuan yang dirancang, bukti DNA yang direka-reka dan penyembunyian bukti pada pihak polis dan para pendakwa kanan yang terlibat.

Beberapa contoh dapat diberikan. Gani Patail merupakan salah seorang Pendakwaraya Kanan dalam kes Anwar pada tahun 1998 telah didedahkan pada tahun ini sebagai mereka-reka bukti perubatan dalam bentuk laporan perubatan. Ianya berhubung penyiasatan serangan terhadap Anwar pada malam 20 September 1998 bilamana Anwar telah diserang secara ganas oleh Rahim Noor. Setelah dunia melihat mata lebam Anwar, wujud desakan dan barulah diikuti dengan penyiasatan polis. Pegawai Penyiasat dalam kes tersebut, Dato Mat Zain telah mengesahkan hal ini dalam suratnya kepada SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) bertarikh 15 April. Menurut surat itu, Gani Patail dengan bersungguh-sungguh mereka-reka bukti laporan perubatan dengan dibantu Musa Hassan (sekarang Ketua Polis Negara) dalam cubaan untuk cuba mencadangkan kecederaan Anwar dilakukan oleh dirinya sendiri. Dr. Mahathir kemudiannya mengumumkan kepada awam tentang kecederaan tersebut dilakukan oleh Anwar sendiri.

Pembentukan bukti rekaan terhadap Anwar juga berlaku dalam kes-kes dan orang-orang yang lain. Gani Patail didakwa terbabis mengancam Nallakaruppan dengan hukuman bunuhbagi memaksa dirinya memberi keterangan palsu terhadap Anwar. Hal ini didedahkan dalam akuan bersumpah yang dibuat peguam Nallakaruppan, Manjeet Singh Dhillon yang merupakan saksi langsung cubaan mengugut oleh Gani Patail bagi mendapatkan bukti palsu terhadap Anwar.

Hakim Mahkamah Persekutuan Steve Shim dalam kes Zainur Zakaria lawan PP [2001] 3 CLJ ada menyatakan bahawa permohonan Anwar untuk membatalkan Gani Patail dan Azahar sebagai pendakwaraya kanan kerana penglibatan mereka dalam mengancam Nallakaruppan dengan hukuman bunuh bagi mendapatkan bukti rekaan yang diinginkan:
”Dalam keadaan ini, apakah beliau (“Anwar”) dianggap tidak wajar atas asas ianya melampaui keraguan munasabah untuk membuat aduan bahawa tindak tanduk Peguam Negara (Gani Patail) sewaktu pertemuan pada 2 Oktober 1998 dalam cubaan memaksa Nalla untuk mereka-reka bukti bagi menyempurnakan tuduhan terhadap Anwar untuk kes kesalahan seksual yang lain?”

Namun Hakim Augustine Paul tidak bertindak untuk membatalkan kelayan Gani Patail dan Azahar. Malah Augustine mendapati peguambela Anwar, Zainur Zakaria bersalah sebagai menghina mahkamah kerana memfailkan permohonan pembatalan kelayakan tersebut dan menjatuhkan hukuman 3 bulan penjara. Gani Patail terus mendaki puncak kekuasaan menjadi Peguam Negara. Azahar pula menjadi Hakim Mahkamah Tinggi. Malaysia Boleh!

Sukma, adik angkat Anwar, ditangkap pada September 1998 dan ditahan tanpa ada perhubungan dengan peguam dan keluarga selama 14 hari. Permohonan peguamnya untuk bertemu dengan Sukma ditolak. Dia disiksa secara mental dan fizikal sehinggalah dia membuat pengakuan melakukan liwat dengan Anwar. Pegawai polis yang dinamakan dalam penghakiman Mahkamah Rayuan sebagai bertanggungjawab dalam penyiksaan ini ialah Musa Hassan, sekarang Ketua Polis Malaysia. Pemeriksaan fizikal oleh Dr. Zahari Noor menunjukkan tidak ada bukti penembusan – laporan ini diketahui oleh pihak pendakwaraya yang menyembunyikannya daripada pengetahuan mahkamah, saat Sukma mengaku “bersalah” hanya berasaskan pengakuan yang dipaksakan itu. Peguam yang dilantik keluarga Sukma tidak dibenarkan bersuara mewakili anak guamnya setelah dibantah oleh pihak pendakwa raya ( Gani Patail and Yusuf Zainal Abiden ).

Mahkamah Rayuan dalam penghakiman bertulisnya pada Jun 2006 dalam kes Sukma Darmawan Sasmitaat Madja v PP [2007] 4 CLJ 697]menyatakan:

“Di sini kita ada kes kelakuan sumbang pihak pendakwaan dengan secara sengaja menyembunyikan bukti yang memenangkan pihak pembelaan. Tidak ada lagi kes ketidak adilan sejelas ini, apabila pengakuan bersalah didakwa didapatkan dengan cara tekanan yang tidak sah di sisi undang-undang.”

DPP PUTRAJAYA- RAKAN-RAKAN, MARI BERFIKIR, YANG BENAR TETAP BENAR, YANG BATIL TETAP BATIL