Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 5 Feb: PAS mengucapkan tahniah kepada Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) Pulau Pinang kerana berjaya menunjukkan prestasi yang begitu membanggakan selepas mentadbir negeri pulau mutiara itu sejak dua tahun yang lalu.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad berkata walaupun Barisan Nasional (BN) yang kalah dalam Pilihan raya Umum 2008 cuba untuk menaburkan fitnah bahawa PR tidak mampu tadbir negeri itu dengan baik, namun rakyat akhirnya dapat melihat sendiri bagaimana cekapnya pemerintahan di bawah Pakatan.

Pada 2007, katanya, Kerajaan BN mensasarkan Belanjawan 2008 mengalami defisit RM35 juta tetapi sebaik sahaja kerajaan bertukar kepada PR, belanjawan itu mengalami lebihan RM88 juta, iaitu lebihan paling tinggi dalam sejarah Pulau Pinang.

Katanya, bagi Belanjawan 2009 pula, anggaran defisit dibuat sebanyak RM40 juta tetapi pemerintahan Pakatan sekali lagi memberikan hasil dengan lebihan RM77 juta.

Tambahnya, pada 2008 peruntukan untuk hal ehwal Islam yang dibuat oleh kerajaan BN dalam belanjawan tahun sebelumnya hanya bernilai RM12.5 juta, namun pada pembentangan belanjawan tahun 2008, Kerajaan Pakatan telah menambah kepada RM20.5 juta untuk peruntukan 2009.

“Pada pembentangan Belanjawan  2009 peruntukan meningkat lagi kepada RM24.3 juta untuk 2010. Jumlah ini adalah peruntukan tertinggi yang pernah dinikmati oleh intistusi Islam di Pulau Pinang selama ini,” katanya.

Katanya lagi, kerajaan Pakatan juga memberi pengiktirafan kepada para huffaz dengan memberikan peruntukan RM1.5 juta setiap tahun kepada sekolah-sekolah agama rakyat.

Di samping itu, ujarnya dakwaan Dewan Perniagaan Melayu Pulau Pinang yang dikuasai Umno bahawa Melayu dipinggirkan dalam agihan projek dinegeri itu adalah tidak benar.

Ini kerana pada 2008, 78 kontraktor Melayu, berbanding 35 kontraktor bukan Melayu telah menerima projek melalui sebut harga, atu kontraktor Melayu dan satu kontraktor bukan Melayu masing-masing telah menerima projek melalui tender terbuka.

Pada 2009 pula, tambahnya 89 kontraktor Melayu diterima untuk projek melalui sebut harga dan bilangan kontraktor bukan Melayu yang diterima berkurangan kepada 19 syarikat sahaja.

Menurutnya, pada tahun yang sama, projek yang diberi kepada kontraktor Melayu melalui tender terbuka bertambah kepada 45 syarikat dan bukan Melayu enam Syarikat.

“Peningkatan yang ketara ini membuktikan Kerajaan Pakatan Rakyat masih menghormati hak kaum Melayu dan tidak menafikan hak kaum lain. Keutamaan pemberian projek adalah bergantung kepada kelayakan, kemampuan dan kesungguhan yang ditunjukan oleh pemohon tanpa mengira kaum mereka.

“Inilah bukti kesungguhan, dan iltizam pembangunan yang dilaksanakan hasil dari kepercayaan rakyat dalam pilihan raya lalu. Pakatan sesekali tidak akan mensia-siakan harapan dan amanah rakyat apabila mentadbir mana-mana negeri,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, PAS berharap kejayaan itu dapat diteruskan dan rakyat di negeri berkenaan dapat memberikan keyakinan serta mandat yang berterusan kepada PR untuk penggal yang akan datang.

“DPP PUTRAJAYA – UMNO SENTIASA INGIN JADI JUARA RAKYAT, JUARA ORG MELAYU, ISLAM, TETAPI FAKTANYA, UMNO SENTIASA MEMBELAKANGKAN MELAYU DAN ORG ISLAM, BUKTINYA JELAS KETIKA SEBELUM PAKATAN RAKYAT MEMERINTAH PULAU PINANG, DIMANA ISLAM DAN ORG MELAYU DILETAKKAN??SAMA2 KITA BERFIKIR, BANGSA YANG BERJAYA, BANGSA YG BERFIKIR!!!”