Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendesak kerajaan agar menghentikan dahulu subsidi kepada pengeluar tenaga bebas (IPP) dan menghentikan ketirisan wang kerajaan sebelum mengambil tindakan menarik balik subsidi untuk rakyat.

Ini kerana, dengan tindakan ini sahaja, negara boleh menjimatkan RM40 bilion wang negara setahun, kata beliau.

“Negara memberikan subsidi sebanyak RM20 bilion setahun kepada IPP iaitu Genting Sanyen, Malakof dan YTL Power.

“Mengikut Pemudah pula, negara kehilangan sebanyak RM20 bilion lagi setahun melalui ketirisan wang kerajaan iaitu rasuah, ketidakcekapan dan sebagainya.

“Jika kita selesaikan ini sahaja, kita sudah boleh bebas dari masalah yang dikatakan oleh Idris Jala itu dan negara kita boleh selamat,” kata Anwar ketika berucap dalam ceramah perdana di Padang Perdana malam tadi.

Anwar mengulas kenyataan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Idris Jala, Malaysia akan bangkrap pada tahun 2019 jika kerajaan terus memberikan subsidi sebagaimana yang ada sekarang.

Bagi Anwar, pengumuman Idris Jala semacam satu kempen untuk menghalalkan tindakan kerajaan menghentikan subsidi untuk rakyat.

“Kenapa rakyat jadi mangsa? Kenapa tidak tarik subsidi dari korporat besar ini,” kata Anwar.

Sebelum itu, Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim ketika berucap berkata Malaysia akan menjadi bankrap seperti negara Greece jika dibiarkan BN terus  memerintah.

Antara punca Greece bankrap adalah salah urus tadbir negara dan rasuah.

“Kini ciri-ciri negara kita sama seperti Greece sebagaimana yang diakui Idris Jala,” kata Khalid.