BANGI, 12 Julai: PAS mengajak biro agama dan mufti Umno bermuzakarah bagi menentukan perjuangan parti mana antara keduanya yang sewajarnya dilabel sebagai sesat.

“Dalam PAS ada Majlis Syura, ada Dewan Ulamak, dan dalam Umno ada biro agama dan ada mufti yang dilantik kerajaan, mari kita muzakarah untuk tentukan siapa yang sesat,” kata Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Beliau ditemui pada majlis makan malam bagi mengutip dana RM1.7 juta bangunan PAS Kawasan Putrajaya di Dewan Sri Cempaka, Kompleks PKNS di sini malam tadi.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang mendakwa PAS sebagai parti ajaran sesat sewaktu berucap merasmikan mesyuarat perwakilan Umno bahagian Kulaijaya, Johor minggu lalu.

Menurut Tuan Guru lagi, yang menentukan sama ada sesebuah parti itu sesat atau tidak bukannya Umno, tetapi dasar dan prinsip parti tersebut.

“Yang menentukan sesat atau tidak, ini Al-Quran dan Hadis, kembali kepada Al-Quran dan Hadis. Kita sentiasa terbuka untuk muzakarah,” ujarnya lagi.

Hadir sama pada majlis malam tadi, Yang Dipertua PAS Putrajaya, Mohamad Nazir Zakaria dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bangi, Dr Shafie Abu Bakar.

Dalam pada itu, sewaktu berucap pada majlis tersebut, Tuan Guru berkata PAS perlu menyelamatkan rakyat di negara dari ajaran perkauman Umno dengan menyeru mereka kembali kepada ajaran Islam.

Pemimpin Umno, katanya telah menjadikan Islam di negara ini mengikut arahan mereka  dan bukannya mereka yang mengikut ajaran Islam.

“Jika Islam ditegakkan Melayu akan selamat dan jika Melayu ditegakkan, Melayu tak selamat, Islam pun tak selamat.

“Orang bukan Islam pula jangan takut, Islam tidak memaksa mereka,” katanya.

Menyentuh isu kerjasama PAS dengan bukan Islam khususnya DAP yang sering dimainkan Umno beliau menjelaskan, hubungan tersebut berbentuk kerjasama politik yang tidak menggadai prinsip Islam dan berbeza dengan hubungan Umno dengan komponen BN.

“Kerjasama Umno dengan MCA, MIC, Gerakan adalah secara wala’ (semua parti komponen kena patuh kepada Umno), menggadai konsep dan menggadai Islam.

“Kita bekerjasama dengan DAP secara tahaluf (kerjasama atas perkara yang sependapat) dan tidak gadai perinsip dan konsep kita,” jelasnya.

DPP PURAJAYA : ” JADI GENTLEMEN LA UMNO, JANGAN MAIN TUDUH SAHAJA, BUKTIKAN…. “