Dewan Pemuda PAS WIlayah Persekutuan menyokong penuh tindakan Kerajaan Selangor yang membantah tuntutan kenaikan tarif air oleh Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) sebanyak 37 peratus berkuatkuasa 31 Mac tahun hadapan.

Tuntutan SYABAS yang disokong oleh Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Shaziman Abu Mansor adalah satu penganiayaan kepada rakyat. DPPWP juga kesal kerana Shaziman bersekongkol dengan SYABAS untuk menaikan kadar tarif air berkenaan jika kerajaan Selangor gagal menyerahkan semua aset industri airnya kepada Pengurusan Aset Air Bhd. (PAAB) sebelum 31 Mac hadapan.

Apa yang berlaku pada hari ini memperjelaskan bahawa Kerajaan Umno-BN yang memerintah Selangor sebelum ini telah melakukan pengkhianatan terbesar pada rakyat kerana menandatangani satu penjanjian konsensi pembekalan air bersama SYABAS selama 30 tahun dengan meletakan terma untuk membolehkan syarikat berkenaan menaikan kadar tarif pada tempoh tertentu tanpa perlu melihat kepada keadaan ekonomi negeri dan rakyat.

DPPWP mewakili pengguna air di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya mendesak agar Yang Di Pertuan Agong menghalang hasrat SYABAS dan membatalkan perjanjian konsensi yang jelas merugikan rakyat di Lembah Klang.

DPPWP menyeru seluruh pengguna air di Lembah Klang turun beramai-ramai mengiringi Menteri Besar Selangor pada 5 Disember ini untuk menghantar Memorandum rakyat ke Istana Negara.

Jika pengguna air berdiam diri pada hari ini, maka tiada siapa lagi yang dapat menghalang kenaikan tarif air sebanyak 37 peratus ini.

Hatta pihak Menteri sendiri hanya mampu memberikan jaminan tidak akan menaikan tarif air selama setahun kepada Kerajaan Melaka dan Johor walaupun negeri berkenaan sudah berikrar akan menyerahkan aset industri airnya kepada PAAB pada bulan Disember dan Januari nanti. Selepas setahun, tarif air tetap akan dinaikan juga di Melaka dan Johor, apa yang Shaziman mampu buat jika PAAB membuat tuntut sama seperti SYABAS hari ini?

Dalam hal ini, rakyat sebagai pengguna air juga yang akan tertindas. Cukuplah rakyat melihat Kerajaan Umno-BN Selangor telah membuat kesilapan dan mengadaikan sumber air Selangor sebelum ini, jangan tutup mata dan anggap Kerajaan Umno-BN di Melaka dan Johor sudah cukup bijak dalam hal ini.

Hakikatnya mereka telah melakukan perkara yang lebih buruk lagi kerana seluruh aktiviti pengurusan air di negeri mereka selepas ini akan diswastakan 100 peratus! dan Kerajaan Negeri bakal hilang kawalan terhadap sumber air negeri.

Marilah bersama-sama menyokong Kerajaan Pakatan Selangor yang bertekad mempertahankan aset pengurusan air negeri dan hak pengguna air yang mahu tarif air tidak dinaikkan.

 

Herman Samsudeen
Pemangku Ketua
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan