February 2011


KUALA LUMPUR, 31 Jan: Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) melahirkan pendiriannya akan berdiri teguh bersama rakyat Mesir yang memperjuangkan Islam, mempertahankan kedaulatan negara, memperbaiki kestabilan politik dan ekonomi serta mengembalikan kesejahteraan rakyat.

Mereka turut menolak sebarang bentuk pengaruh daripada Amerika Syarikat dan Israel dalam pembentukan polisi Mesir, di samping berharap agar pemerintahan baru di negara itu dapat membantu negara umat Islam di Palestin secara konsisten dan menjadi asas kepada kesatuan negara-negara Arab di Timur Tengah.

Ketua DPPP, Ustaz Nasrudin Hassan At-Tantawi menegaskan, DPPP mengutuk keras sebarang bentuk kekerasan dan kekasaran yang dilakukan oleh regim Hosni Mubarak terhadap peserta demonstrasi serta menuntut agar desakan mereka dilayan secara profesional dan adil.

Menurut beliau, ini termasuklah membebaskan kesemua tahanan peserta demonstrasi dan pengamal media kerana ia bercanggah dengan prinsip hak asasi manusia.

“Dewan Pemuda PAS Malaysia menyeru kepada sebarang usaha ke arah pembubaran Parlimen Mesir dan penganjuran pilihanraya umum yang telus dan bersih.

“Pihak penganjur pilihanraya mestilah bebas daripada sebarang campur tangan parti politik, di samping menjamin kebebasan media untuk melaporkan perkembangan dan hasrat rakyat kepada pengundi dan masyarakat luar,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi memorandum khas DPPP yang diserahkan bersama memorandum yang diserahkan oleh para pemimpin PAS, Pakatan Rakyat dan beberapa NGO kepada kedutaan Mesir, di sini, hari ini.

Menerusi memorandum itu, DPPP turut melahirkan sokongan dan komitmen solidariti kebangkitan rakyat Mesir menentang regim autokratik Hosni Mubarak.

“Penentangan rakyat Mesir adalah manifestasi penolakan prinsip ketidakadilan, kezaliman dan penyalahgunaan kuasa yang dilakukan oleh pemerintah sejak beberapa dekad yang lalu,” katanya.

DPPP turut mengucapkan tahniah khususnya kepada golongan muda yang berani dan aktif menyertai agenda revolusi bagi menuntut keadilan dan pembaharuan di Mesir.

“Malah, kami mengambil kesempatan ini juga untuk mengucapkan takziah kepada keluarga-keluarga mangsa yang terkorban mahupun tercedera dalam saingan revolusi ini,” tegasnya.

Pergolakan politik di Mesir kini adalah ekoran kejatuhan regim pemerintah Zein Al-Abidin di Tunisia lalu menjalar ke beberapa buah negara jiran lain termasuk Yaman, Oman, Algeria dan Jordan.

Dengan perkembangan terbaru yang berlaku di Mesir, DPPP turut menjangkakan teori domino itu akan terus berantai sehingga memberikan kesan revolusi keadilan sedunia.

“Namun melihat perkembangan pergolakan politik hari demi hari di Mesir, DPPP melihat situasi semakin kritikal apabila pihak pemerintah tidak mengambil langkah drastik untuk menyelesaikan perkara pokok dan sebenarnya.

“Sebaliknya, mereka melakukan pembantaian terhadap peserta demonstrasi seperti menembak dengan menggunakan gas, air dan pukulan terhadap mereka. Malah lebih parah lagi apabila hubungan komunikasi melalui media baru dan telefon disekat untuk memadamkan kemaraan rakyat,” katanya.

Jelas, menurut beliau, sikap yang ditunjukkan itu telah mencabul hak asasi manusia dan memburukkan wajah demokrasi di Mesir.

Berdasarkan pendedahan-pendedahan media antarabangsa, pihak berkuasa Mesir telah mengambil pendekatan kekerasan untuk mengawal dan meredakan keadaan.

“Walau bagaimanapun, desakan terhadap agenda reformasi, kestabilan, demokrasi dan kebebasan tetap menjadi agenda utama dan kami menyokong usaha tersebut,” tegasnya.

Beliau berharap agar hasrat DPPP yang disuarakan melalui memorandum itu dapat disampaikan kepada pihak-pihak simpatisan dan pejuang revolusi kebangkitan rakyat di Mesir.

 

DPP PUTRAJAYA : KAMI MENDOAKAN IKHWAH, SAUDARA2 KAMI DI MESIR AKAN BERJAYA DALAM MISINYA MENGULING PEMIMPIN YG ZALIM… AMINN

Advertisements

Untuk mendapat kembali sokongan di Felda, anggota PAS ditegur supaya membuang anggapan bahawa anggota keluarga mereka secara automatik akan kekal bersama parti Islam itu.

Sebaliknya, naib presidennya Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, keahlian baru di kalangan anak-anak anggota PAS hendaklah digiatkan.

pas muktamar 130610 tuan ibrahim tuan man“Sikap dan anggapan anak ahli akan kekal bersama PAS mesti dihapuskan, kerana sokongan tanpa menjadi ahli menyebabkan mereka tidak merasai wajibnya memperjuangkan Islam,” beliau dipetik sebagai berkata kepada Harakahdaily.

Tuan Ibrahim (kiri) yang juga pesuruhjaya PAS Pahang mengesyorkan supaya pengajian agama di masjid dan markaz sekitar kawasan Felda perlu digerakkan.

“Kita tidak mahu ahli PAS yang emosi tanpa kawalan ilmu, kerana itu program asas bagi parti seperti usrah, tamrin, muqayyam, dan rehlah mesti dihidupkan kembali,” ujarnya lagi.

Semalam, dalam pilihan raya kecil Tenang, calon PAS Normala Sudirman tewas kepada calon BN Mohd Azahar Ibrahim dengan majoriti 3,707 undi. Normala memperolehi 2,992 undi manakala Azahar memperolehi 6,699 undi.

Sokongan kuat terhadap Zahar datang daripada tiga gugusan Felda di kawasan itu, yang lazimnya secara tradisi menyokong BN.

Bagaimanapun, Tuan Ibrahim hari ini menyeru seluruh jentera PAS menghilangkan tanggapan bahawa kawasan Felda dan kampung tradisional merupakan kubu BN.

“Untuk menganggap Felda kubu BN saya kira agak ekstrem kerana PAS pernah menang di kawasan Felda bahkan pada tahun 1999, bila mana PAS menang di kawasan majoriti melayu, ia termasuk kawasan Felda,” katanya yang diminta mengulas kegagalan PAS menembusi kawasan Felda di Tenang.

DPP PUTRAJAYA :  DALAM PERJUANGAN ANDAI ILMU TIDAK MENJADI DASAR PERJUANGAN KITA, MAKA PERJUANGAN KITA TIDAK AKAN MAMPU BERTAHAN LAMA, JUSTERU AYUH PEMUDA SEMUA KITA SEMARAKKAN PROGRAM2 ILMU DI SURAU DAN MASJID DI KAWASAN SEKITAR KITA..PEMUDA2 MESTI TURUN KE MASJID…ALLAHUAKBAR!!!